PENULISAN ILMIAH

DEFINISI MODAL INSAN

Modal insan merujuk kepada sumber tenaga manusia yang dianggap penting dan ia perlu diurus dan digunakan dengan sebaik mungkin. Bagi Itami (1987), modal insan merupakan aset tidak ketara yang perlu diuruskan dengan berkesan agar organisasi dapat bersaing dalam pasaran dan memperoleh keuntungan. Sehubungan dengan itu, modal insan telah diiktiraf sebagai aset yang paling penting dan berharga yang perlu dibangunkan secara berterusan. Kelebihan yang dimiliki oleh modal insan inilah yang bakal mencorakkan pembangunan negara dan juga perkembangan organisasi (Davenport, 1999). Program PMI yang berkesan merupakan penggerak, pencetus dan pemangkin kepada pelaksanaan dan pengahayatan terhadap wawasan, misi dan matlamat negara.


Menurut Dzikowsi (1999), aset milikan modal insan diukur kepada tahap pengetahuan, kemampuan, kemahiran, dan kepakaran yang dimiliki oleh pekerja jika dilihat dalam konteks organisasi. Sementara itu, Truelove (1995), PMI adalah proses di mana individu bersedia untuk meningkatkan kemahiran melalui pengalaman kerja yang dilaluinya. Motifnya adalah untuk menggunakan kemahiran dan pengetahuan yang telah diberikan dalam latihan bukan setakat untuk prestasi kerja semasa tetapi turut melibatkan prestasi kerja pada masa depan. Kemahiran pula sering dikaitkan dengan pengetahuan, di mana keduanya sama penting. Kemahiran berkait rapat dengan kemampuan mengaplikasikan pengetahuan dan pengalaman yang bakal membolehkan individu terus meningkatkan kualiti kerja yang dijanakan. 


Gary (1975) pernah menegaskan PMI merupakan prasyarat untuk mencapai matlamat politik, sosila, kebudayaan dan ekonomi kepada negara. mereka berpendapat sekiranya negara tidak berupaya membangunkan modal insan yang dimiliki, negara akan terus mundur dan hilang kelebihan kompetitif mereka. Menurut mereka lagi, PMI merupakan elemen yang paling penting dalam penjanaan ekonomi terutama apabila negara berhadapan dengan keterhadan sumber-sumber fizikal yang lain. Dalam konteks ini Gary (1994) seterusnya telah mengkategorikan modal insan kepada dua kategori khusus dan kategori umum. Bagi beliau, kategori khusus dirujuk kepada kemahiran dan pengetahuan yang khusus yang begitu penting kepada pekerja dan juga industri atau organisasi. Manakala kategori umum seperti literasi adalah penting kepada semua pekerja dan negara.


KONSEP PEMBANGUNAN MODAL INSAN

Konsep pembangunan modal insan (PMI) berkait rapat dengan penambahbaikan kualiti modal insan secara berterusan melalui peningkatan ilmu, kemahiran, minda, spiritual, emosi dan perwatakan yang bersesuaian dengan reality, tuntutan semasa dan perubahan yang berlaku. Menurut Sveiby (1997), modal insan perlu diterima sebagai mekanisme penjana kemajuan negara dan juga kemakmuran organisasi. Sehubungan itu, beliau seterusnya menegaskan pendekatan terbaik untuk PMI adalah dengan melahirkan individu yang benar-benar mahir dalam bidang kerja yang dipertanggungjawabkan. Kejayaan ini ditentukan oleh kekuatan budaya ilmu dan budaya belajar yang perlu terus dipupuk oleh negara.


            Proses PMI perlu ditumpukan kepada pembinaan sikap untuk menghargai nilai-nilai keinsanan yang perlu diterima sebagai satu kelebihan kempetitif. Manusia yang tidak menghormati keinsanannya akan dihina dan diperlecehkan, hilang kehormatan diri dan tidak yakin pada diri sendiri. Kesannya, akan menjatuhkan martabat mereka kepada makhluk yang lemah dan tidak mampu menyumbang kepada kebaikan sejagat. Membina manusia yang utuh keinsanannya bermakna membangunkan pemimpin, usahawan, pengurus, pentadbir atau pekerja yang amanah dan bertanggungjawab. Bagi tujuan ini, proses pembinaan keinsanan hendaklah dijanakan secara bersepadu, iaitu meliputi pembangunan kognitif, kedewasaan emosi, kemahiran sosial dan kemantapan kerohanian yang bakal dibangunkan secara adil, bersepadu dan seimbang.


KEPENTINGAN NILAI MURNI DALAM KEHIDUPAN

(i) mewujudkan masyarakat berbilang kaum yang harmoni
(i) mewujudkan masyarakat yang memiliki semangat kejiranan yang tinggi
(ii) mewujudkan masyarakat yang tinggi nilai budi
(iii) mengukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat
(iv) mengangkat citra masyarakat yang memiliki nilai murni yang tinggi di mata dunia
(v) masyarakat menjadi lebih bertanggungjawab terhadap orang lain
(vi) masyarakat lebih berintegriti dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan
(vii) kes jenayah yang berlaku dalam masyarakat dapat dikurangkan kerana sikap prihatin   yang wujud dalam masyarakat
(viii) kerajaan dapat merangka pelbagai program untuk membangunkan negara kerana masyarakat memiliki semangat patriotik yang tinggi
(ix) masyarakat yang penyayang dapat dilahirkan
(x) hubungan kekeluargaan menjadi utuh kerana ahli keluarga saling menghormati


 RASIONAL NILAI-NILAI MURNI DALAM PENDIDIKAN.

Ø  Pada bulan Mei 1969, rusuhan kaum berlaku dalam sejarah negara. Ini menunjukkan kerapuhan perpaduan dalam negara kita.
Ø  Masyarakat kita tiada semangat muhibbah yang dapat menyatukan setiap kaum.
Ø  Penularan pelbagai jenis penyakit kerohanian, akhlak, sosial dalam kalangan masyarakat menggalakkan pihak yang berkenaan memberi perhatian yang lebih isu nilai murni dalam pendidikan.
Ø  Kementerian Pendidikan Malaysia telah melaksanakan strategi penerapan nilai-nilai murni secara komprehensif dimana:
 “Nilai-nilai murni akan disisipkan melalui kesemua mata pelajaran dan akan diperkukuhkan melalui kegiatan-kegiatan ko-kurikulum, formal dan tidak formal, di dalam dan di luar bilik darjah, akan digunakan sepenuhnya dengan cara bersepadu untuk memastikan penerapan nilai-nilai murni akan berhasil dan berkesan.”


STRATEGI PENERAPAN NILAI MURNI

Ø  Penerapan nilai murni berlaku secara bersahaja dan tidak langsung. Strategi penerapan nilai secara yang tidak boleh diajar secara formal seperti mata pelajaran lain. Ini merupakan satu penghayatan dan pengusahaan secara beramal bukan sekadar peringatan atau penghafalan.

Ø  Penerapan nilai murni berlaku melalui strategi yang mempunyai kaitan langsung dengan isi pelajaran. Fakta-fakta sejarah dan cerita-cerita dalam mata pelajaran sastera umpamanya akan dapat dibincangkan melalui isu-isu yang dapat dikaitkan secara langsung dengan unsur nilai yang dipegang oleh pelajar atau nilai sejagat tertentu.

KOMPONEN DALAM MODAL INSAN
Terdapat beberapa komponen yang penting dalam membuat pengukuran tentang modal insan di dalam sesebuah organisasi. Komponen ini penting dalam usaha untuk meningkatkan prestasi kerja agar selaras atau melangkaui aras yang telah ditetapkan oleh organisasi. Antara komponen utama modal insan adalah pengetahuan, kemahiran, kemampuan, sikap, daya usaha dan pengurusan masa.

 1) Pengetahuan
Dalam konteks PMI, pengetahuan bukan dimanifestasikan oleh sijil dan diploma, ia juga bukan satu ukuran yang tepat berdasarkan angka gred mata purata atau dengan kekananan dan kelamaan modal insan berada di tempat kerja. Sebaliknya, pengetahuan berkait rapat dengan kefahaman seseorang terhadap sesuatu isu atau sesuatu perkara. Ketinggian pengetahuan diukur dari gabungan pembelajaran dan pendidikan serta kemampuan pengaplikasiannya secara praktikal yang bakal mempengaruhi prestasi serta keupayaan dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Oleh itu, sudah sepatutnya negara menyediakan peluang dan sokongan kepada modal insan untuk meningkatkan pengetahuan melangkaui keperluan semasa. Melalui pengetahuan membolehkan seseorang dinilai sama ada setiap kemahiran dan kepakaran yang dimiliki dapat dipraktikkan semasa melaksanakan tugas yang telah dipertanggungjawabkan. Ini kerana setiap modal insan perlu memiliki ilmu pengetahuan yang baik mengikut arus peredaran zaman. Ini bagi menjamin mereka tidak ketinggalan di dalam mengajar arus perkembangan tekbologi yang berlaku dengan pesat.

2)   Kemahiran dan kepakaran
Kemahiran bermaksud kebolehan dan keupayaan fizikal dalam melaksanakan tugas. Manakala kepakaran merupakan kehebatan yang dimiliki oleh modal yang bakal membolehkan mereka melakukan pekerjaan dengan lebih berkesan. Kedua-dua ini bakal mempengaruhi prestasi dan keupayaan mengurus dalam kalangan  modal insan. Mengikut Kamus Dewan (1994), kemahiran diertikan sebagai kecekapan dan kepandaian. Kemahiran juga sering dikaitkan dengan kemampuan mengaplikasikan pengetahuan dan pengalaman yang dimiliki. Kebolehan mengaplikasikan sesuatu konsep atau idea kepada pekerjaan yang dilakukan merupakan satu kelebihan yang perlu dimiliki oleh setiap modal insan. Kemahiran berkenaan termasuklah kemahiran menganalisis, membuat keputusan, konsisten dengan kerja yang dilakukan dan kemampuan untuk berinteraksi.

Kemahiran ini adalah amat penting bagi modal insan untuk melakukan kerja dengan sempurna kerana sesuatu kerja membabitkan penggunaan pelbagai peralatan dan kemahiran berinteraksi yang perlu diaplikasikan secara berbeza. Potensi bagi membolehkan modal insan memperoleh faedah dari program latihan adalah bergantung dan ketepatan dalam melakukan sesuatu pekrjaan.

Kepakaran pula dilihat dari segi kaedah bagaimana individu melakukan kerja yang bakal membolehkan mereka melaksanakan dengan berkesan dan mudah. Sehubungan itu, modal insan perlu memiliki kekuatan fizikal, kecekapan yang khusus, dan kebolehan mengeluarkan idea yang bernas. Selain itu, mereka juga perlu memiliki bakat tersendiri untuk melakkan sesuatu tugas. Sungguhpun begitu, setiap individu mempunyai tahap kemahiran yang berlainan yang bakal mempengaruhi tahap penerimaan, kesanggupan dan ketepatan yang terbina hasil daripada latihan dan pengalaman adalah dirujuk kepada kekuatan psikomotor. Sebagai modal insan dala organisasi, mereka perlu mempunyai pelbagai kemahiran untuk mencapai matlamat peribadi memreka dan juga organisasi.

    3)    Kemampuan
Kemampuan merupakan keupayaan umum berkaitan dengan tahap pencapaian prestasi modal insan terhadap sesuatu tugas yang telah dipertanggungjawabkan. Tahap pencapaian kerja adalah hasil kemampuan yang dibina daripada pengetahuan dan kemahiran melalui latihan, pengalaman ataupun pemerhatian. Sebagai asset kepada organisasi, modal insan perlu mempunyai kemampuan dalam melaksanakan pelbagai tugas yang diamanahkan kepada mereka. Tetapi hal ini perlulah mengikut kepada kemampuan individu tersebut supaya tidak membebani tugas yang melebihi daripada kemampuan yang boleh memberi kesan negatif kepada individu tersebut.

                Kemampuan modal insan dalam melaksanakan pelbagai tugas menunjukkan bahawa mereka telah berjaya memberi nilai tambah kepada diri sendiri untuk terus maju dalam mendaki tangga kerjaya. Ini kerana organisasi akan memberi peluang kepada mereka yang menunjukkan prestasi kerya yang tinggi selaras dengan pencapaian matlamat organisasi yang memerlukan modal insan yang lengkap dalam usaha meningkatkan produktiviti. Faktor ini secara langsung memberikan imej positif kepada organisasi kerana mempunyai modal insan yang memiliki pelbagai kemahiran, pengetahuan dan berkeupayaan sudah tentu mampu melakukan pelgaia tugas dengan berkesan.

4)  Sikap
Sikap adalah kuasa penentu kepada kesediaan modal insan menerima atau menolak terhadap sesuatu perkara. Sikap dapat disamakan dengan kehendak terhadap sesuatu. Usaha melahirkan modal insan yang berketeranmpilan mesti bermula daripada perubahan sikap. Perubahan ini mesti bermula dari dalam ke luar. Ini bermakna sikap perlu dimantapkan melalui sistem keyakinan yang ada dalam diri seseorang. Sistem keyakinan ini pada asasnya mengandungi prinsip-prinsip tentang ketuhanan, kebenaran, kebaikan atau apa sahaja bentuk kepercayaan.

5) Usaha
Usaha adalah satu keusngguhan utnuk mencuba secara berterusan dengan mengaplikasikan sumber fizikal dan mental dalam melakukan kerja dan memastikan pencapaian yang terbaik. Usaha dalam melakukan kerja melibatkan kemahira, pengetahuan dan bakat yang ada di samping memenuhi tuntutan etika dan akhlak. Dengan menggunakaan usaha secara optimum, membolehkan modal insan mengetahui bila, di mana dan bagaimana kekuatan yan mereka miliki dapat memberi sumbangan terbaik melalui pembangunan sikap, meningkatkan kemahiran dan mengemas kini pengetahuan. Usaha yang wujud secara berterusan dalam menyempurnakan sesuatu kerja bayak dipengaruhi oleh situasi yang menjadi rangsangan kepada individu untuk bertindak dan komited dengan tindakan yang bakal di ambil. Keadaan ini akan mewujudkan  satu nilai, etika, kepercayaan, rezksi tentang keadaan persekitaran. Semua ini tidak akan berfungsi dan bermakna sekiranya usaha modal insan tidak dijana secara langsung, aktif, kreatif dan inovatif.

6) Pengurusan masa
Setiap modal insan perlu memiliki kemahiran untuk mengurus masa secara sistematik. Kemahiran mengurus masa secara strategik akan membolehkannya mereka mengelak daripada bertindak tanpa berifkir atau melakukannya secara tergesa-gesa. Pengurusan masa yang strategik juga boleh mengurangkan risiko sosial dan kewangan. Seterusnya kemahiran menguruskan masa akan membolehkan modal insan membezakan di antara perkara utama yang perlu diberi penumpuan dengan perkara yang remeh temeh yang patut dijadikan sampingan. Di samping itu, ia akan membolehkan mereka peka dan cepat ebrtindak terhadap perincian yang penting.

KEPENTINGAN PEMBANGUNAN MODAL INSAN DAN LANGKAH MEREALISASIKANNYA

Marcapada ini ,masyarakat pembangun modal insan berazam dan berusaha untuk melahirkan lebih ramai modal insan kelas pertama yang akan menjanjikan sebuah tamadun yang Cemerlang, Gemilang dan Terbilang.‘Minda Kelas Pertama’ merupakan modal insan yang mampu memenuhi keperluan pembangunan individu, keluarga, masyarakat, negara dan dunia yang merangkumi aspek penguasaan ilmu yang tinggi, sikap proaktif, kekayaan moraliti, budaya menyumbang untuk kepentingan bersama dan pembangunan yang bersifat holistik.‘Minda Kelas Pertama’ memerlukan segenap usaha serta komitmen daripada setiap peringkat masyarakat untuk melahirkan modal insan. Setiap etnik, kelas sosial, komuniti dan institusi perlu mengambil bahagian dalam merealisasikan misi ini.Terdapat beberapa kepentingan modal insan dan langkah-langkah untuk melahirkannya. 

 Kepentingan yang pertama adalah untuk menjadikan negara Malaysia sebagai negara yang mampu berdaya saing dan berdaya maju dengan negara-negara membangun yang lain agar mampu dijadikan contoh oleh negara-negara di rantau Asia.Hal ini kerana modal insan kelas pertama adalah merupakan golongan tenaga muda yang mempunyai potensi yang amat bernilai untuk dibangunkan bagi memajukan lagi segala sektor-sektor yang penting di Malaysia .Golongan ini menjadi tulang belakang bagi memastikan negara Malaysia akan sentiasa membangun seiring dengan negara-negara maju yang lain.Golongan ini juga dianggap sebagai benteng harapan untuk maju ke hadapan dan sebagai sumber penting bagi membentuk kemajuan negara. 

 Kedua, modal insan kelas pertama amat penting untuk menjana kemajuan negara Malaysia dalam semua bidang agar mampu menempa kemajuan serta perubahan keatas negara Malaysia dari pelbagai aspek penting.Hal ini terbukti apabila golongan minda kelas pertama ini telah mencuba untuk melakukan tranformasi secara total atau perubahan drastik yang menyeluruh terhadap cara dan gaya hidup,adat resam, budaya,dominasi ekonomi dan kewangan,perkembangan ilmu pengetahuan dan pendidikan,teknologi maklumat,media cetak dan eletronik terhadap masyarakat dalam kalangan rakyat Malaysia.Tindakan golongan ini melakukan tranformasi adalah bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia agar selaras dengan taraf hidup masyarakat di negara-negara membangun yang lain. 

 Strategi untuk melahirkan modal insan kelas pertama adalah melalui pendedahan meluas terhadap penguasaan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang oleh golongan modal insan.Hal ini menunjukkan bahawa golongan ini perlu menyediakan diri dengan memiliki kemantapan informasi serta kemahiran dalam pelbagai bidang untuk melahirkan golongan modan insan kelas pertama.Melalui penguasaan ilmu pengetahuan ini,kita dapat mendedahkan bidang sains dan teknologi kepada seantero masyarakat Malaysia.Tindakan ini merupakan cara bagi melahirkan modal insan kelas pertama.Perkembangan era globalisasi adalah merupakan satu cabaran yang perlu dihadapi oleh modal insan agar mampu menghasilkan modal insan kelas pertama yang berpengetahuan,berinovasi serta berkualiti tinggi. 

 Seterusnya,melalui pengenalan Dasar 1 Murid 1 Sukan juga dapat melahirkan modal insan kelas pertama yang memiliki keseimbangan antara keperluan akademik dan keperluan fizikal.Hala tuju dasar pendidikan negara kita amat jelas iaitu melahirkan modal insan berminda kelas pertama bukan sahaja melalui pencapaian akademik malah melalui pencapaian dalam bidang sukan. Oleh itu, Dasar 1 Murid 1 Sukan secara tidak langsung dapat melahirkan modal insan yang seimbang dari segi jasmani,emosi,rohani dan intelek. Melalui dasar ini juga kerajaan mahu membina dan menjana modal insan yang berguna kepada bangsa dan negara melalui bidang sukan. 

 Selain itu,Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) juga dapat menghasilkan modal insan yang menjadi tunggak utama kepada pembangunan negara pada masa akan datang.Melalui program ini,modal insan dapat dibentuk menjadi insan yang bertanggungjawab serta mampu melakukan sesuatu perkara dengan usaha yang bersungguh-sungguh demi mencapai kejayaan.Golongan yang menyertai PLKN ini adalah golongan sasaran utama bagi melahirkan modal insan disebabkan oleh daya pemikiran yang dinamik,progresif dan eksklusif yang ada pada mereka. Dengan itu,mereka telah diletakkan sebagai generasi pelapis yang mampu mewarisi tampuk pemerintahan negara suatu hari nanti berdasarkan corak dan acuan modul kerajaan. 

 Kesimpulannya,dapatlah dirumuskan bahawa pembangunan modal insan bermindakan kelas pertama amat penting bagi menjadikan Malaysia bukan sahaja negara maju yang beridentitikan diri sendiri,malah akan menjadi contoh bagi negara-negara di seluruh pelosok dunia . Dalam konteks dunia global hari ini, modal insan yang benar-benar berkualiti adalah satu kemestian, bukan lagi satu kemewahan dan kemegahan. Oleh itu,bersama-samalah kita melangkah maju ke hadapan berpaksikan pengetahuan serta bukan sahaja sekadar semata-mata ingin menjadi negara maju tetapi negara maju yang mempunyai identitinya sendiri serta mampu melahirkan lebih ramai lagi modal insan kelas pertama.

DEFINISI SASTERA

Perkataan ‘sastera’ berasal daripada bahasa Sanskrit castra yang membawa maksud kitab suci. Kesusasteraan pula membawa pengertian sebagai segala penghasilan sastera yang dinikmati atau disampaikan, baik melalui tulisan dan pembacaan mahupun melalui lisan dan pendengaran.(Harun Mat Piah et al;2006 hlm 6). Sastera merupakan satu bidang seni kreatif yang medium pengantarnya adalah bahasa. Sastera bermula dari tradisi lisan dan semakin berkembang mengikut peredaran semasa.

Pernyataan ini disokong oleh M.K Danziger dan W.S Jahnson (1983:2) yang mendefinisikan sastera sebagai satu seni yang menggunakan kata-kata sama ada lisan atau bertulis. Bahkan sastera juga merangkumi semua aspek yang menggunakan bahasa yang bersifat kreatif, menurut Ismail Husein (1998:23). Ini juga ditegaskan oleh Abu Bakar Hamid (1997:13) yang memberi pengertian sastera sebagai satu seni yang bercorak intelektual dan gabungan kepuasan intelek dan kepuasan estetik.

                  Karya-karya sastera memaparkan perutusan, amanat serta lontaran idea dan fikiran pengarangnya. Hasil karya itu mencerminkan gagasan dan daya fikir pengarangnya yang ingin dikongsi bersama pembaca. Sebuah karya itu terhasil daripada cetusan gabungan daya rasa, kepekaan dan keprihatinannya terhadap apa yang diamati dan dialami oleh masyarakat. Menurut Syed Ali Ashraf (1989:36) sastera bukan sahaja satu bentuk ilmu yang berseni tetapi ianya merangkumi segala aktiviti manusia secara kreatif.

Meneliti pandangan yang diutarakan oleh para sarjana memperlihatkan bahawa sastera ditandai dengan pelbagai ciri khusus. Justeru, tugasan ini akan membincangkan dan menjelaskan konsep kesusasteraan, ciri-ciri khusus sastera, kategori serta fungsinya dengan contoh-contoh yang bersesuaian. Dalam hal ini perbincangan akan ditumpukan kepada kategori sastera mengikut masa dan bentuk seperti yang dijelaskan oleh Harun Mat Piah (2003). Untuk maksud ini, beberapa bahan dan teks sastera akan dirujuk sebagai bahan analisis yang mewakili karya tradisional mahupun moden. Antara sumber petikan yang akan diketengahkan bagi kategori sastera tradisional genre prosa ialah dari Sejarah Melayu dan Sastera Rakyat. Manakala rangkap dari Gurindam Dua Belas akan dikaji untuk mewakili sastera tradisional genre puisi. Sastera Melayu moden yang berbentuk prosa pula akan diwakili oleh karya-karya Abdullah Munsyi manakala sajak Kamala yang bertajuk “Telok Gong” pula akan mewakili puisi Melayu moden.
    
 Sastera merupakan satu bidang seni kreatif di mana bahasa adalah medium pengantarnya. Sastera ditandai dengan beberapa unsur khusus yang mampu membentuk tamadun dan peradaban sesuatu masyarakat selain memperlihatkan sikap dan pandangan pengarangnya. (Arba’ie et al,2008) Secara ringkasnya sastera dilengkapi dengan unsur-unsur yang berikut:
S – Seni bahasa yang indah
A – Akaliah atau sisipan ilmu dan pemikiran pengarang
S – Sensori atau daya sensitiviti pengarang
T – Tersurat & tersirat
E – Estetika atau keindahan dari segi bahasa
R – Realiti kehidupan
A – Alternatif

                Sastera Melayu mempunyai seni bahasa yang indah dan tersusun. Diksi yang digunakan dapat memberi kesan penghayatan kepada pembaca. Ianya mempamerkan kepakaran dan keahlian seorang pengarang itu untuk meluahkan dan mengungkapkan makna yang difikirkan.  Adunan teknik-teknik yang sesuai dan ketepatan diksi  menjadikan sesebuah karya itu hidup dan bertenaga. 

            Selain daripada penggunaan bahasa-bahasa yang indah dan tersusun, sastera juga diiringi  dengan unsur akaliah. Dalam erti kata lain, seorang pengarang perlu memikirkan perutusan, amanat, atau lontaran idea yang ingin disampaikan atau dikongsi dan direnungi bersama oleh pembaca.  (Arba’ie et al,2008 hlm 1) Unsur akaliah ini merupakan langkah pertama yang perlu ditetapkan sebelum terhasilnya sesebuah karya.

Dengan perutusan yang diingin disampaikan, seorang pengarang perlu mengolah dan menggabungkan serta melengkapi karyanya itu dengan daya rasa atau sensitiviti mereka. (Arba’ie et al,2008 hlm 1) Untuk itu, seorang pengarang haruslah bersifat sensitif atau peka dan prihatin akan masyarakatnya. Pengamatan pengarang akan masyarakatnya dijadikan sumber asas dalam menghasilkan sesebuah karya. Kewujudan pelbagai daya rasa ini akan membangkitkan dan meninggalkan kesan perasaan kepada pembacanya. Daya rasa seperti belas simpati, benci , marah atau geram akan dihubungkaitkan dengan fenomena yang dipaparkan. Karya itu akan lebih bernilai sekiranya apa yang dipaparkan pernah dilalui atau dialami oleh pembaca. 
   
Sastera juga mempunyai unsur tersurat dan tersirat. Sastera tidak terhasil dengan  kekosongan.(Ara’ie et al,2008 hlm 5) Ianya terhasil atas dorongan tertentu dengan menggunakan sumber-sumber yang terdapat di persekitaran. Penafsiran pembaca yang berencam mengundang pembaca memikirkan mesej yang ingin disampaikan. Namun tidak semua lambang yang tersurat itu memberi erti apa yang tersirat. Akan wujud makna-makna simbolik di sebalik kata-kata yang diungkapkan.  Sastera juga mempunyai nilai estetikanya. Selain pemikiran, gaya bahasa, bentuk struktur dan tema juga memainkan peranan penting untuk menilai kesan estetika sesebuah karya itu. Sesebuah karya sastera juga merupakan cerminan realiti kehidupan. Persoalan-persoalan yang dipaparkan dalam sebuah karya sastera merupakan rakaman realiti dalam masyarakat. Ianya merupakan renungan serta pengamatan pengarangnya dan diterjemahkan secara halus dan berhemah. (Arba’ie,2008 hlm 2)

            Sastera yang terhasil merupakan satu alternatif kepada pengarang untuk meluahkan perasaan, melepaskan kecaman-kecaman dan bauran rasa yang terbuku di dada. Ianya bertepatan dengan fungsi sastera sebagai alat pelepasan nilai rasa dan jerit naluri kehidupan manusia sejagat. (Arba’ie et al,2008 hlm 3)

KATEGORI  KESUSASTERAAN MELAYU

Dalam kesusasteraan Melayu, pengkategorian sastera dilakukan berdasarkan zaman atau masa sesebuah hasil sastera itu dikesan atau wujud. (Arba’ie et al,2008 hlm 8) Secara umumnya, pengkategorian sastera akan merujuk kepada tradisional dan moden. Sastera Melayu tradisional meliputi dua genre iaitu prosa dan puisi. Genre prosa dan puisi tradisional adalah seperti yang tersenarai:
Prosa                                                                          Puisi
Sastera Rakyat                                                            Pantun
Sastera Pengaruh Hindu                                              Syair
Sastera Zaman Peralihan                                             Peribahasa
Sastera Pengaruh Islam                                               Teromba
Sastera Panji                                                              Talibun
Sastera Ketatanegaraan                                              Nyanyian Kanak-kanak
Sastera Undang-undang                                              Jampi Mentera
Sastera Saduran                                                         Gurindam Zikir
Cerita Berbingkai                                                       Seloka, Kit’ahMasnawi

 Manakala bagi kategori Sastera Moden, genre prosa dan puisi moden pula adalah seperti berikut:
            Prosa                                                                          Puisi
            Cerpen                                                                       Sajak
            Novel
            Drama
                        
                        Walaupun kedua-dua sastera tradisional dan moden mempunyai genre prosa dan puisi, namun, ciri-ciri khusus akan dibincangkan selanjutnya untuk membandingkan sastera tradisional dan moden.
 
CIRI-CIRI SASTERA MELAYU TRADISIONAL

                        Sastera Melayu tradisional merupakan karya-karya yang telah diwarisi secara turun-temurun. Sastera tradisional disebarluaskan melalui lisan dan memberi gambaran cara hidup atau budaya sesuatu masyarakat. Ia bersifat kolektif atau hak milik bersama. Tiada sesiapa yang tahu siapa pengarangnya dan tidak diketahui tarikh sesuatu sastera itu dihasilkan. Ianya lahir di kalangan masyarakat masa lampau dan disampaikan secara lisan dari satu generasi ke satu generasi yang lain kerana pada umumnya masyarakat pada zaman tersebut masih belum mengenal huruf dan tidak tahu menulis. Penyebaran sastera Melayu tradisional juga terhad disebabkan khalayak yang terbatas dan bersifat esklusif.

Oleh kerana ianya disampaikan melalui lisan, banyaklah berlakunya perubahan dan tokok tambah serta penyesuaian. Tema, latar serta watak dalam sastera tradisional berpusat kepada masyarakat yang mewarisinya dan dipandang tinggi oleh masyarakat tersebut sehinggakan karya-karya itu dianggap suci dan keramat.

CIRI-CIRI SASTERA MELAYU MODEN

          Sastera Melayu Moden pula mempunyai ciri-ciri yang berlainan dengan sastera Melayu tradisional. Jika sastera Melayu tradisional tersebar melalui lisan, maka sastera Melayu moden pula disebarkan melalui tulisan. Penyebaran hasil-hasil sastera yang berbentuk tulisan ini semakin berkembang dengan kehadiran mesin cetak. Penyebaran ini semakin meluas dan berjaya menembusi masyarakat pembaca yang ramai. Ini berbeza dengan sastera tradisional yang hanya diketahui oleh golongan tertentu sahaja. Jika sastera Melayu tradisional terhad kepada sesebuah masyarakat tertentu sahaja yang bersifat esklusif, sastera Melayu moden pula merupakan sebaliknya. Ianya bersifat individu atau perseorangan kerana disertakan dengan nama pengarangnya. Ianya tidak lagi bersifat kolektif atau kepunyaan umum tetapi khusus dimiliki oleh pengarangnya. Bahkan sastera Melayu moden mempunyai sistem hak cipta terpelihara.   

                   Walaupun ciri-ciri sastera tradisional dan moden ini bertentangan, namun masih terdapat persamaan dari segi fungsi sesebuah karya sastera itu dihasilkan.

KESUSASTERAAN MELAYU DALAM PEMBANGUNAN MODAL INSAN

Bagi  sesetengah orang, kesusasteraan itu tidak penting, tidak membawa erti apa-apa. Itulah makanya di kalangan masyarakat umum di Malaysia, kesusasteraan itu tidak dilihat betapa besar kaitannya dengan nilai politik dan kepemimpinan, akal budi, patriotisme, jati diri, budi bahasa, cinta negara, kasih sayang, pedoman kehidupan, kesedaran, keinsafan, pemikiran. Dan alangkah luasnya nukilan ilmu dan nilai-nilai hidup dalam karya para sasterawan dan penulis bangsa. Selaras dengan Gagasan 1Malaysia, memang semakin nyata bahawa rakyat Malaysia juga memerlukan suatu transformasi sosio-budaya dan pemahaman terhadap kesusasteraan dengan mendalam.

Dalam sastera, nilai-nilai tidak bergerak berasingan, tetapi amat rapat dengan tradisi ilmu, semangat dan roh kekuatan bangsa. Jika dikatakan kesusasteraan itu bahagian daripada falsafah dan pemikiran, maka kita boleh sahaja merujuknya kepada genre sastera hikayat, roman sejarah, dan melalui teks-teks karya agung serta karya-karya semasa para sasterawan. Di dalamnya termuat segala aspek tentang pembinaan modal insan cemerlang. Nilai politik atau ikrar taat setia seperti ungkapan Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah’ tidak akan difahami generasi baru jika mereka tidak mempelajari sastera.Mereka tidak tahu bezakan keadilan dengan kezaliman, fungsi raja dan peranan rakyat, sekiranya tidak ditatap dua teks genius Melayu seperti Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah. Dalam bahasa dan sastera itu, kita boleh mengenali peribahasa, perumpamaan, simpulan bahasa, syair, gurindam, pantun, seloka, pepatah, petitih dan sebagainya. Hasil-hasil sastera pula ada yang berbentuk karya kreatif seperti novel, cerpen, puisi dan yang bukan kreatif seperti penulisan dan kajian.

Cuba lihat aspek nilai dan norma; adat resam, nilai-nilai positif yang patut menjadi amalan masyarakat. Kesusasteraan merakamkan macam-macam perlakuan budaya dalam bentuk tulisan dan lisan. Jadi cemerlangkah bangsa kita, jika kita buta budaya dan tidak celik sastera? Sifat negara maju bukan begitu. Manusia cemerlang adalah manusia yang tahu erti ‘kesatuan’ dan lambang-lambang‘perpaduan’ dan ‘kekuatan’. Misalnya ada protokol Melayu tentang pemimpin yakni peranan ketua mengatur gerak kerja dan ketua itu dihormati. Ungkapan seperti ‘Yang didahulukan selangkah/ Yang ditinggikan seranting/ Yang dilebihkan serambut/ Yang dimuliakan sekuku... dan ribuan lagi ungkapan Melayu.

Nilai-nilai jati diri, patriotisme, dan akal budi boleh sahaja dirujuk. Pantun, syair, gurindam, peribahasa dari segi isi dan mesejnya membawa nilai budi, pengajaran dan nasihat. Apakah masyarakat kita masih ingat akan ‘Duduk berbual diremang senja/Angin taufan bertiup kencang/Kalau kapal dua nakhoda/Alamat karam dipukul gelombang/.

Ada ribuan pantun dan peribahasa yang boleh kita buat pedoman tentang perpaduan, nilai kepemimpinan, cinta negara, kekeluargaan, perjuangan, kepahlawanan dan sebagainya. Di Malaysia, kadang kala pengalaman menunjukkan bahawa kita begitu mudah terperangkap atau terheret dengan masalah kulit bukan isinya. Kenapakah nilai-nilai budi bahasa dan nilai murni bangsa kita kian terhakis? Seorang anak Melayu yang kukuh modal insannya akan menjadi seorang budiman, beragama, berbudaya dan berakhlak mulia. Mereka akan menolak hedonisme, vandalisme dan jahiliyah. Selain agama, maka sastera mengajar nilai hormat menghormati, bersyukur, berkeperibadian luhur dan seumpamanya.



RANCANGAN PENGAJARAN HARIAN

Tarikh              :  24 April 2014

Hari                 : Khamis

Tingkatan        :  1

Masa                :  80 minit

Tajuk               : Prosa Tradisional (Budi Seorang Bapa Angkat)

Objektif pengajaran :

Pada akhir pembelajaran, pelajar dapat :
i) mengenal pasti dan menyatakan secara lisan sekurang-kurangnya satu nilai dalam prosa tradisional ‘Budi Seorang Bapa Angkat’ hasil permainan aktiviti.

Hasil pembelajaran
Huraian hasil pembelajaran

HPU
10.0 memahami dam memberi respons peribadi tentang karya sastera

HPK
10.4 menyatakan jenis, ciri, tema dan persoalan, pemikiran, nilai dan pengajaran


Aras 3 (ii)
Membaca untuk menghuraikan pengajaran dalam karya puisi dan prosa

Pengetahuan/ kemahiran sedia ada :
i) Pelajar telah mengetahui maksud dan nilai–nilai murni

Penggabungjalinan

Hasil pembelajaran
Huraian  hasil pembelajaran

HPU
10.0 memahami dan memberikan respons peribadi tentang karya sastera
HPK
10.2 mengenal pasti perkara yang menarik dalam karya

Aras 1 (ii)
Mengecam perkara yang menarik dalam karya

Kemahiran bahasa : membaca, menulis, bertutur

Sistem bahasa : kosa kata (ungkapan dalam teks- kemangkatan, alamat, mengasah gigi)

Pengisian kurikulum

Ilmu : kesusasteraan

Nilai : keberanian, bekerjasama, berkeyakinan, kesungguhan, kasih sayang, kepentingan
ilmu, kebijaksanaan, belas kasihan

KBT : kemahiran berfikir dan kemahiran kecerdasan pelbagai

Alat / bahan bantu mengajar : video, teks prosa dan sinopsis, kertas edaran, muzik, kotak,
kertas gulungan, puzzle, kain penutup mata, papan putih, roda
impian, sampul surat, pen marker.


Objektif fasa dan kandungan


Kandungan aktiviti

Alat/KBT/nilai

INDUKSI SET


Nilai dalam video :
·         Kasih sayang seorang bapa.
·         Pengorbanan seorang bapa.
·         Penghargaan terhadap pengorbanan seseorang.


·         Guru menayangkan sebuah video pendek berkaitan bapa.
·         Guru meminta murid menyenaraikan nilai yang terdapat dalam video tersebut.
·         Guru mengaitkan video dengan isi kandungan pelajaran



·         ABM : video
·         Nilai : berani
·         KBT : kemahiran berfikir kritis (mencirikan)

LANGKAH 1


·         Objektif pengajaran :
i)Pada akhir pembelajaran pelajar dapat menghuraikan sekurang-kurangnya satu nilai dan pengajaran yang terdapat dalam Prosa Tradisional ‘Budi Seorang Bapa Angkat’ hasil perbincangan dalam kumpulan






 Sinopsis ‘Budi Seorang Bapa Angkat’

Kemangkatan Tuanku Si Helang Laut dan permaisurinya di negeri Bandar Mengkalih tidak diketahui oleh kakandanya, Uli Emak Si Anjing. Hinggalah pada suatu malam suaminya,
Datuk Batin Alam telah mendapat alamat tentang kesusahan. Berikutan daripada peristiwa tersebut, anak Tuanku Si Helang Laut, iaitu Awang Sulung Merah Muda telah dipelihara oleh Datuk Batin Alam dan Uli Emak Si Anjing. Setelah cukup umur, Awang Sulung dihantar mengaji Quran dan merawi di rumah Tuan Kadi Alim. Namun begitu, Awang tidak mahu belajar mengaji dan menutup Quran. Kejadian tersebut berulang pada hari berikutnya. Namun, pada malam ketujuh, Awang menunjukkan minat untuk belajar mengaji. Apabila Tuan Kadi Alim membaca sehelai, Awang membaca sejuzuk dan membaca hingga khatam. Seterusnya Awang Sulung diajar ilmu bahasa akal dan bahasa Arab di rumah Tuan Malik Kecil. Peristiwa tidak mahu berlajar berulang semula. Namun, pada malam ketujuh, Awang Sulung telah menunjukkan minat untuk berlajar. Lebih mengejutkan, dalam masa yang singkat sahaja Awang Sulung dapat menguasai ilmu yang dipelajarinya. Setelah selesai pengajaran tersebut, Awang Sulung kemudian diajar ilmu persilatan oleh Datuk Batin Alam. Ayahnya menunjukkan langkah-langkah persilatan sehingga langkah tiga dan meminta Awang Sulung mengikutnya. Namun, Awang hanya tercengang-cengang. Dia terus menunjukkan langkah-langkah tersebut sehingga langkah dua belas. Tidak juga diikut oleh Awang Sulung. Dia terus menyambung sehingga penat. Dia terfikir ingin menguji Awang Sulung dengan melakukan tuju-tuju. Awang Sulung dapat menepis dan menjatuhkan tengkolok Datuk Batin Alam. Pelbagai ujian dilakukan seperti menikam bertubi-tubi dan dihumban seketul batu yang besar. Sesudah mahir, Awang Sulung dikhatankan oleh Datuk Mudim Raja dalam satu majlis yang gemilang.
Setelah sembuh daripada khatan, Datuk Batin Alam ingin mengasah gigi Awang Sulung dan meminta pembantunya, Awang Selamat bertanya kepada sebuah tongkang yang sedang berlayar.
Tukang mengasah gigi, Si Cuti telah dipanggil ke istana. Setelah diasah gigi, Awang Sulung menjadi sangat kacak sehingga sesiapa yang terpandang wajahnya akan terpikat.  Walau bagaimanapun Cuti telah dihukum bunuh agar tiada yang dapat menandingi ketampanan Awang Sulung. Ganjaran diserahkan kepada keluarganya namun mereka sangat merasai kehilangan Cuti.


·      Nilai : Nilai merupakan sifat ketinggian pekerti seseorang.
·      Pengajaran : Pengajaran merupakan unsur teladan dalam karya.






·         Guru menerangkan objektif pengajaran pada hari ini.


·         Guru mengedarkan teks prosa tradisional ‘Budi Seorang Bapa Angkat’ dan sinopsis

·         Guru  meminta murid membaca secara senyap dalam masa 20 minit.

·         Guru menceritakan dan menerangkan sinopsis prosa tradisional ‘Budi Seorang Bapa Angkat’ video

·         Guru meminta murid menyambung beberapa bahagian cerita.
































































·         Guru menerangkan maksud nilai dan pengajaran









·         ABM : teks prosa tradisional dan sinopsis






·         ABM : video
·         KBT : kemahiran berfikir kreatif (menjana idea)
·         Nilai : keberanian dan keyakinan diri

LANGKAH 2

Aktiviti 1: Mencari Barang Tersembunyi dan Permainan Kotak Beracun.

·         Murid diedarkan sehelai kertas yang tertera lukisan di atasnya dan kemudian dikehendaki mencari sekurang-kurangnya sembilan objek yang tersembunyi dalam lukisan tersebut.
·         Bagi memberikan jawapan mengenai objek yang telah ditemui, murid perlulah bermain terlebih dahulu 'permainan kotak beracun' yang diiringi oleh lagu. Apabila lagu diberhentikan, murid terakhir yang memiliki kotak beracun tersebut perlulah bangun dan menyatakan satu objek yang terdapat di dalam lukisan tersebut. Kemudian, perlu mengambil segulung kertas kecil yang terdapat dalam kotak beracun dan melakukan perkara yang tertulis di atas kertas yang dipilih
·         Murid yang dapat menyatakan objek yang ditemui serta dapat melakukan perkara yang tertulis di atas kertas yang dipilih akan memperoleh ganjaran.


Aktiviti 2 : Puzzle

·         Pelajar dibahagikan kepada 2 kumpulan besar  (kumpulan A dan kumpulan B).
·          Setiap kumpulan perlu menghantar dua orang wakil untuk menyelesaikan puzzle yang telah disediakan.
·         Seorang pelajar akan ditutup matanya untuk mencantumkan puzzle yang terdapat di papan putih. Manakala seorang lagi pelajar akan memberikan arahan tentang kedudukan puzzle yang betul (ahli kumpulan yang lain dibenarkan untuk membantu) 
·         Pelajar diberikan masa selama 2 minit untuk menyelesaikan puzzle tersebut. Kumpulan yang dapat menyelesaikan puzzle terlebih dahulu akan dikira sebagai pemenang. 

Aktiviti 3 : Roda Impian

·         Pelajar dibahagikan kepada dua kumpulan.
·         Setiap pelajar akan menghantar wakil. Wakil setiap kumpulan akan memutar roda impian secara bergilir-gilir.
·         Wakil tersebut akan melakukan tugasan mengikut roda tersebut berhenti pada penanda-penanda tertentu seperti jawab soalan, teka-teki. Terdapat juga imbuhan positif seperti markah bonus dan cenderahati. Terdapat juga penanda negatif seperti hilang giliran dan muflis. Sekiranya mendapat jawab soalan, wakil tersebut akan mencabut 5 sampul surat mengandungi soalan berkaitan ‘Budi Seorang Bapa Angkat’.
·         Wakil yang berjaya menjalankan tugasan  akan mendapat mata.
·         Kumpulan yang mendapat mata paling banyak dikira sebagai pemenang.






·         Guru menerangkan syarat pemainan bagi aktiviti 1.


·         Guru meminta murid mencari objek tersembunyi dalam kertas yang diedarkan dalam masa 10 minit.

·         Guru menjalankan permainan kotak beracun.























·         Guru menerangkan syarat permainan aktiviti 2.





















·         Guru menerangkan syarat permainan aktiviti 3.








·         ABM : kertas edaran
·         KBT : kemahiran berfikir kreatif (menjana idea)



·         ABM : muzik, kotak, kertas gulungan
·         KBT : kemahiran kecerdasan pelbagai (audio)
·         Nilai : kesungguhan

















·         ABM : puzzle, kain penutup mata, papan putih
·         KBT : kemahiran kecerdasan pelbagai (kinestetik)
·         Nilai : kerjasama, kasih sayang, kepentingan ilmu









·         ABM : roda impian, sampul surat, papan putih, pen marker
·         KBT : kemahiran berfikir kreatif (menjana idea)
·         KBT : kemahiran kecerdasan pelbagai (kinestetik)
·         Nilai : kebijaksanaan, bekerjasamaan, keyakinan diri, belas kasihan


PENUTUP
(5 minit)

Penutup kognitif
·         Pengajaran pada hari ini berkaitan nilai dan pengajaran dalam Prosa Tradisional ‘Budi Seorang Bapa Angkat’. Antara nilai tersebut ialah kasih sayang, kebijaksanaan, kepentingan ilmu pengetahuan, belas kasihan dan sebagainya.

Penutup sosial
·         Guru menunjukkan sebuah video pendek mengenai kasih sayang seorang bapa.






·         Guru dan murid menyimpulkan pelajaran pada hari ini.





·         KBT : kemahiran berfikir kritis (membuat inferens)


·         Nilai : kasih sayang, kebijaksanaan, kepentingan ilmu, belas kasihan
·         ABM : video


RUMUSAN PENGAJARAN

Dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang telah dijalankan, kami telah memilih pengajaran daripada bahan sastera tradisional. Hal ini demikian kerana berdasarkan pemerhatian sepanjang menjalankan praktikum, kami mendapati bahawa ramai pelajar yang kurang berminat dengan pembelajaran berasaskan bahan sastera tradisional. Antara faktor yang mempengaruhi pelajar tidak berminat terhadap bahan sastera tradisional ialah kerana penggunaan tatabahasa Melayu klasik yang banyak. Selain itu, bahasa yang digunakan juga berbelit-belit, menggunakan penanda wacana klasik dan banyak menggunakan ayat pasif. Hal ini turut mempengaruhi tahap pemahaman dan proses mengingat pelajar.
Berdasarkan praktikum yang telah dijalankan kami dapat melihat reaksi pelajar berubah tatkala diperkenalkankan dengan tajuk pengajaran dan pembelajaran yang berkaitan dengan prosa tradisional. Pelajar yang aktif dan ceria pada fasa induksi set  berubah menjadi pasif dan tidak menumpukan perhatian terhadap tajuk pembelajaran. Hasil temu bual secara lisan mendapati mereka tidak berminat dengan cerita prosa tradisional kerana menganggap cerita tersebut membosankan dan tidak menarik. Malah, kebanyakan pelajar tidak menghabiskan pembacaan mereka terutama sekali pada bahagian prosa tradisional. Oleh itu, dalam pengajaran ini kami telah memilih untuk menggunakan bahan kartun dan menghasilkan video yang digunakan semasa sesi penerangan.
Bahan bantu mengajar dalam bentuk kartun dapat diadaptasikan semasa pengajaran dan pembelajaran dalam pelbagai bentuk seperti carta, slaid, komik, video dan sebagainya yang mampu membantu dalam penyampaian pembelajaran. Penggunaan kartun sebagai bahan bantu mengajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran mampu mewujudkan suasana yang seronok dan boleh mempengaruhi emosi murid. Kartun merupakan suatu bahan yang sangat popular dan digemari oleh kebanyakan pelajar, terutamanya pelajar tingkatan 1. Tambahan pula, bahan kartun juga boleh dianggap sebagai wahana yang menghiburkan dan boleh meredakan ketegangan emosi manusia.
Menurut Azriana Abdul Manan & Yahida Yahya (2011) dalam kajian mereka yang bertajuk ‘Humor dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu’ mendapati bahawa pengunaan unsur humor dapat menarik minat pelajar serta melahirkan suasana pembelajaran yang kondusif dalam pengajaran dan pembelajaran. Penggunaan bahan unsur humor juga boleh dikaitkan dengan penggunaan bahan kartun yang menarik dan pelbagai. Pengajaran akan lebih menarik dan pelajar tidak berasa bosan semasa proses pengajaran dan pembelajaran.
Pelbagai aktiviti yang dijalankan sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran seperti permainan kotak beracun, mencari objek tersembunyi, mencantumkan puzzle dan permainan roda impian dapat merangsang minda pelajar. Penglibatan pelajar juga lebih aktif dan mereka lebih memahami tajuk pengajaran. Selain itu, pengajaran ini juga menekankan kemahiran bernilai tambah, iaitu kecederdasan pelbagai yang diperkenalkan oleh Howard Gardner (1983). Beliau mengemukakan lapan kecerdasan manusia yang dapat diperkembangkan sepanjang hayat. Lapan kecerdasan tersebut ialah kinestetik, interpersonal, intrapersonal, logik-matematik, audio, verbal-linguistik, visual- ruang dan naturalis. Bahan kartun yang digunakan berkaitan dengan visual-ruang yang dominan dengan peta, carta, gambar, video dan filem. Melalui visual-ruang ini, pelajar akan lebih mudah memahami sesuatu berbanding hanya mendengar semata-mata. Secara kesimpulannya, kami berpuas hati dengan pengajaran dan respon daripada pelajar.


PENUTUP

 Pendidikan adalah pelaburan yang sangat penting dalam sesebuah negara. Pencapaian yang dijana melalui sistem pendidikan akan menentukan hala tuju negara pada masa depan. Malahan, proses pendidikan merupakan kaedah yang sangat berkesan bagi membentuk dan mengembangkan minda, jiwa dan rohani ke arah mengenali diri dan mencapai tahap kehidupan bermasyarakat yang baik dan sempurna.
Daripada perspektif yang berbeza, bidang pendidikan adalah jambatan yang membawa pengetahuan, latihan, potensi, minat dan semua elemen kualiti yang ada pada manusia iaitu modal insan ke suatu dimensi yang lebih dinamik dan progresif bagi menggerakkan kemajuan negara. Jepun dan Korea Selatan adalah dua buah negara yang aset materialnya sangat sedikit, berjaya membuktikan bahawa pembangunan modal insan yang mantap dapat membantu memajukan diri dan negara mereka setanding dengan negara-negara maju yang lain.
Seterusnya, dua belas tahun yang lalu, Gary S. Becker, penerima Hadiah Nobel dalam ekonomi pada tahun 1992 menyatakan bahawa perkara terpenting untuk menarik pelaburan asing bukanlah kerana sesebuah negara itu mempunyai golongan elit atau rakyat yang terpelajar. Faktor yang utama ialah golongan pekerja khususnya yang mempunyai tahap literasi yang tinggi, budaya kerja yang positif dan potensi mendapatkan pengetahuan bagi membentuk kemahiran-kemahiran baru.

Pengaruh ketiga-tiga elemen ini sangat ketara kerana pekerja yang berupaya menerapkan budaya ilmu dan mahir dalam bidangnya adalah mereka yang akan menghasilkan produk berkualiti seperti yang dikehendaki oleh syarikat-syarikat luar yang membuat pelaburan. Inilah keputusan pertama yang akan difikirkan dan isu utama yang diberi penekanan oleh pelabur luar negara.



No comments:

Post a Comment